Soalan tentang Mengenal Jenis Klausa
Nyatakan jenis klausa yang bercetak tebal dalam ayat-ayat di bawah ini sama ada klausa komplemen, klausa relatif atau klausa keterangan.
(i) Langkah-langkah untuk mengatasi masalah itu perlu diberikan perhatian oleh semua pihak.
(ii) Jika mencapai kejayaan yang cemerlang, anda akan ditawarkan biasiswa oleh pelbagai pihak.
(iii) Perdana Menteri menyatakan bahawa kita perlu memberikan penekanan dalam sektor pertanian.
(iv) Penyanyi yang selalu menunjukkan budi pekerti yang baik akan dihormati oleh masyarakat.
(v) Dia mencapai keputusan yang cemerlang kerana telah berusaha dengan bersungguh-sungguh.
(vi) Ibu bapa kita akan gembira dan senang hati andai kata kita sentiasa mematuhi ajaran agama.
Panduan untuk Mengenal Klausa
Klausa ialah bahagian yang mempunyai konstituen subjek dan predikat. Klausa terbahagi kepada dua jenis, iaitu klausa bebas dan klausa tak bebas. Klausa bebas ialah klausa yang menjadi ayat dasar dalam sesuatu ayat atau ayat induk atau ayat utama. Klausa tak bebas atau subordinat ialah bahagian subjek dan predikat dalam ayat yang dikepalai oleh kata hubung pancangan sama ada kata hubung relatif, kata hubung komplemen atau kata hubung keterangan. Jika klausa tak bebas tersebut dikepalai oleh kata hubung relatif, maka klausa tak bebas tersebut dikenal sebagai klausa relatif. Jika klausa tersebut dikepalai oleh kata hubung komplemen, maka klausa tak bebas tersebut dikenal sebagai klausa komplemen. Jika klausa tersebut dikepalai kata hubung keterangan, maka klausa tak bebas itu dikenal sebagai klausa keterangan. Kebiasaannya, klausa tak bebas ini berfungsi sebagai ayat kecil kepada ayat induk dalam ayat majmuk atau juga dikenal sebagai ayat subordinat.
Soalan tentang Mengenal Jenis Frasa
Nyatakan jenis frasa yang bercetak tebal dalam ayat-ayat di bawah ini sama ada Frasa Nama, Frasa Kerja, atau Frasa Sendi Nama.
(i) Mereka berkelah di tepi sungai.
(ii) Pemuda itu kehujanan ketika pulang dari pejabat.
(iii) Saya ke Hotel Nikko pada petang esok.
(iv) Ibu saya akan pergi ke Mekah pada tahun ini.
(v) Jika mereka ada, saya pun ada.
(vi) Beliau amat gembira apabila memenangi Anugerah Tinta Kencana 2004.
Panduan untuk Mengenal jenis frasa
Untuk mengenal frasa dalam bahasa Melayu, kita mestilah mengenal kepala frasa. Dalam bahasa Melayu, hanya kata nama, kata kerja, kata adjektif sahaja yang boleh menjadi kepala frasa. Kata tugas tidak boleh menjadi kepala frasa kecuali kata sendi nama yang membentuk Frasa Sendi. Jika kata kerja mendahului frasa tersebut, maka frasa itu dikenal sebagai frasa kerja. Sebagai contohnya, berbicara tentang perkara itu, akan mengadakan kursus, tinggal di kampung dan sebagainya. Jika kata nama mendahului frasa tersebut, maka frasa itu dikenal sebagai frasa nama. Sebagai contohnya, mereka, anak mereka, lelaki yang berjambang itu, dan sebagainya. Jika kata sendi nama mendahului frasa tersebut, maka frasa itu dikenal sebagai frasa sendi nama. Sebagai contohnya, untuk abang, di Kuala Lumpur dan sebagainya. Dalam bahasa Melayu, frasa boleh terdiri daripada satu perkataan atau lebih.
Soalan tentang Mengenal Jenis Kata
Nyatakan jenis kata bagi perkataan yang bercetak tebal dalam ayat-ayat di bawah ini sama ada kata nama, kata kerja, kata adjektif atau kata tugas.
(i) Mereka berbicara tentang bioteknologi.
(ii) Kami telah menyaksikan perlawanan yang hebat pada malam itu.
(iii) Guru menghadiahi kami sebuah buku cerita.
(iv) Kami sekeluarga berada dalam keadaan sihat.
(v) Hadiah ini disediakan untuk ibuku yang tersayang.
(vi) Dia bimbang akan keadaan ibunya yang masih belum sedar.
Panduan untuk Mengenal Jenis Kata
Terdapat panduan atau rumus untuk mengenal jenis kata. Untuk mengenal kata nama, kata itu dapat didampingkan dengan kata bilangan. Sebagai contoh, pen ialah kata nama kerana dapat didampingkan dengan kata bilangan, iaitu lima batang pen (/). Cantik pula bukan kata nama kerana tidak dapat didampingkan dengan kata bilangan, iaitu lima batang cantik (x). Untuk mengenal kata adjektif, kata itu dapat didampingkan dengan kata penguat. Sebagai contoh, cantik ialah kata adjektif kerana kata ini dapat didampingkan dengan kata penguat, iaitu, sangat cantik (/), manakala pen bukan kata adjektif kerana kata ini tidak dapat didampingkan dengan kata penguat, iaitu sangat pen (x). Untuk mengenal kata kerja, kata kerja tidak dapat didampingi kata penguat dan kata bilangan tetapi dapat didampingi kata bantu. Kata tidur ialah kata kerja kerana dapat didampingi kata bantu. Sebagai contoh, sedang tidur (/), sangat tidur (x), lima buah tidur (x). Untuk mengenal kata tugas pula, kata tugas tidak dapat didampingkan dengan kata penguat, kata bilangan atau kata bantu. Kata untuk ialah kata tugas kerana kata ini tidak dapat didampingi ketiga-tiga kata tersebut. Sebagai contoh, sangat untuk(x), lima buah untuk(x) atau telah untuk(x).
Jenis-jenis Frasa
Soalan:
Nyatakan jenis frasa yang bercetak tebal dalam karangan ini sama ada frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif atau frasa sendi nama:
(AR) Apakah maksud pendidikan maya? (AR) Pendidikan maya ialah pendidikan yang dijalankan melalui talian. (AR) Mereka yang ingin mengikuti pendidikan ini mestilah mempunyai kemudahan mengakses internet. (AA) Apakah kepentingan pendidikan maya ini?
(AJ) Satu daripada kebaikan pendidikan maya ialah seseorang itu dapat melanjutkan pelajaran mengikut jadual sendiri. (AH) Hal ini akan memudahkan seseorang yang cacat atau telah bekerja untuk menyambung pelajaran. (AC) Sebagai contohnya, melalui talian internet seseorang itu boleh mendaftar atau mengikuti pelajaran dari mana-mana lokasi. (AP) Tegasnya, sistem pendidikan maya ini sangat baik kerana memberikan peluang untuk belajar kepada sesiapa sahaja.
Selain itu, (AJ) pendidikan maya dapat menjimatkan masa seseorang. (AH) Hal ini dikatakan demikian kerana pelajar tidak perlu berkejar ke bilik kuliah. (AC) Sebagai contohnya, golongan yang telah bekerja menghadapi masalah untuk mengikuti pelajaran di bilik kuliah. (AP) Melalui pendidikan maya, mereka hanya perlu menghidupkan suiz komputer.
Seterusnya, (AJ) kebaikan pendidikan maya ialah bahan-bahan pembelajarannya ialah disediakan dalam bentuk cakera padat atau boleh dimuatturunkan melalui laman web. (AH) Kaedah ini dapat menjimatkan penggunaan kertas sekali gus mengatasi pencemaran alam. (AC). Sebagai contohnya, semasa pelajar mendaftar, mereka akan dibekali dengan bahan-bahan pelajaran dalam cakera padat atau nombor pengenalan peribadi untuk mengakses laman web. (AP) Tegasnya, penggunaan cakera padat dan laman web bukan sahaja memudahkan pelajar, malah dapat menyelamatkan bumi daripada pencemaran.
Sebagai kesimpulannya,(A Ksmpln) pendidikan maya dapat memajukan sistem pendidikan di negara kita. (A Pndpt) Pendidikan cara ini akan membolehkan lebih banyak rakyat Malaysia berpeluang untuk melanjutkan pelajaran pada peringkat yang lebih tinggi. (A Hrpn) Melalui cara ini juga, negara kita akan mencapai taraf negara maju dengan lebih cepat. Oleh itu, (A Cdgn) semua rakyat perlu mengambil peluang untuk mengikuti pelajaran secara maya hingga peringkat tertinggi.
Tatabahasa : Memisahkan ayat
Soalan 1:Pisahkan ayat-ayat majmuk di bawah ini kepada ayat-ayat tunggal:
1. Mereka bertepuk tangan sambil bersorak.
2. Pengajaran guru itu mudah difahami, tambahan pula penyampaiannya sangat menarik.
3. Saya tidak pernah menceritakan keburukannya, justeru saya sering memujinya.
4. Ibu ke pasar dahulu, kemudian ke kedai runcit.
5. Ayah dan ibu akan menghadiri majlis itu.
6. Yogeswaran otak cair tetapi malas berusaha.
7. Kehadiran murid sangat baik pada hari biasa, tetapi kehadiran murid pada hari Sabtu sangat tidak memuaskan.
8. Saya akan ke Kuala Lumpur, manakala abang akan ke Seremban.
9. Harga pakaian itu terlalu mahal, pada hal kualitinya rendah.
10. Kita mesti bertolak sekarang kerana hari semakin gelap, sementelahan tempat perkehemahan itu masih jauh.
No comments:
Post a Comment